Monday, 28 November 2011

Lawatan rasmi MB ke Jepun

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan melakukan lawatan kerja rasmi ke Jepun bermula 20 hingga 23 November ini bagi menyertai seminar dan misi pelaburan asing di negara itu. Abdul Khalid berkata acara lawatan tahunan itu akan digunakan sebaik mungkin oleh kerajaan Selangor bagi melihat peluang pelaburan baru sekali gus dapat menarik lebih ramai pelabur Jepun ke negeri ini.

Selain itu, negeri Selangor yang diwakili Datuk Bandar Shah Alam, Dato; Mohd Jaafar bin Mohd Atan juga akan membuat pembentangan mengenai pembangunan Shah Alam sebagai ibu negeri dengan mengetengahkan isu berkaitan pembangunan teknologi hijau dalam usaha menjadikan bandar ini sabagai smart city.

Seminar dan lawatan pelaburan ini akan diketuai oleh Pengerusi Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun, Tan Sri Azman Hasyim dan turut disertai EXCO kerajaan negeri, Teresa Kok serta Pegawai Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC). Pada sidang akhbar selepas merasmikan kejohanan kelab renang kebangsaan 2011 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Abdul Khalid berkata beliau turut mengambil peluang untuk menermui kumpulan peniaga dan pelabur Jepun bagi menyampaikan penghargaan kepada mereka yang telah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pengurusan negeri ini. 


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

Dato' Ismail Kamus..Tokoh Maal Hijrah Selangor 1433H

     
        Salam.....sempena awal muharram ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut maal hijrah 1433H. Seperti yang kita tahu, setiap tahun pasti ada tokoh yang akan dinobatkan sebagai tokoh maal hijrah sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun negeri. Negeri Selangor tidak ketinggalan menobatkan beberapa nama besar sebagai tokoh maal hijrah negeri yang bertuah ini.

       Dalam banyak-banyak tokoh yang dinobatkan, saya amat terharu apabila Dato' Ismail Kamus dinobatkan menerima anugerah yang berpristij ini. Sesiapa yang suka menonton Forum Perdana Ehwal Islam 10-20 tahun dahulu, mereka pasti kenal tokoh ini. Beliau selalunya keluar dalam forum tersebut bersama nama-nama besar lain seperti Dato' Harun Din, Dato' Tuan Ibrahim dan lain-lain.

      Saya suka pada beliau kerana cara penyampaiannya yang cukup baik, terang, dan yang paling saya suka ialah beliau selalu menyelitkan lawak jenaka di dalam ceramah beliau. Setiap kali beliau ceramah, pasti ada lawak yang akan beliau selitkan. Walaubagaimanapun, saya dikhabarkan bahawa beliau sekarang tidak berapa sihat kerana mengalami sedikit masalah kesihatan..Saya berharap beliau akan sihat dan akan terus berbakti kepada agama Allah s.w.t...tetapi sebelum itu saya selitkan liputan TV Selangor pada majlis penganugerahan tersebut.....Salam


"Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan"

Sunday, 20 November 2011

Keunikan program "Jom Shopping!"


Salam....dalam sibuk-sibuk melihat video di laman Youtube, tiba-tiba saya terbuka sebuah video berkaitan Jom Shopping anjuran Kerajaan Negeri Selangor dibawah rancangan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Saya bukan ingin bercerita tentang program ini kerana saya sudah banyak mengeluarkan post seperti ini sebelumnya. Saya cuma nak bercerita tentang pelaksanaan program ini.

            Sebelum itu, apa yang menarik perhatian saya adalah gelagat salah seorang ADUN di Selangor ini. Siapa yang tak kenal dengan ADUN Sekinchan ini. Beliau berbangsa Cina, tetapi yang mengagumkan adalah beliau sangat fasih berbahasa Jawa. Ini mungkin kerana beliau telah dibesarkan di kawasan kampung yang mempunyai ramai penduduk berbangsa Jawa.

            Berbalik semula dengan program tadi, saya amat tertarik dengan cara program ini dilaksanakan. Sangat sederhana, mudah dan tiada protokol yang ketat. Bagi saya, ia dapat merapatkan lagi jurang antara pemimpin dengan rakyat bawahan. Secara jujurnya, sudah tentu RM100 itu tak seberapa dari segi nilainya, tetapi nilai keikhlasan itu amat mahal. Kalau dahulunya untung penjualan pasir di Selangor akan masuk ke tembolok kroni-kroni, tetapi kini ia dapat dinikmati oleh rakyat jelata.

            Jadi, apa yang penting adalah kerajaan Selangor cuba untuk menepati janji-janji mereka melalui slogan “hasil negeri untuk rakyat”. Jika dilihat pada nilai per individu, mungkin tidak banyak. Cuba anda darabkan dengan jumlah warga emas di Selangor. Ia akan mencecah jutaan ringgit. Hal ini sama dengan Skim Air Percuma.

            Kesimpulannya, kita tidak perlu nak heboh tentang siapa yang paling prihatin dengan rakyat. Bagi saya, kalau hanya pandai bercakap sahaja, saya pun boleh. Jadi, tindakan yang benar itulah akan yang menjadi bukti yang tidak dapat disangkal dengan apa hujah sekalipun.Semoga rakyat Selangor akan mendapat habuan yang lebih besar lagi..tetapi, anda perlulah memberi mandat kepada kerajaan yang prihatin..Salam...


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

RM 1.6 bilion, belanjawan DUN Selangor 2012



Salam...setiap negeri mempunyai belanjawannya yang tersendiri. DUN Selangor juga tidak ketinggalan dalam pembentangan Belanjawan 2012. Ikuti laporan TV Selangor ini.

Kelulusan belanjawan sebanyak RM1.6 bilion oleh DUN Selangor membuktikan kesungguhan pentadbiran kerajaan Selangor bagi memastikan seluruh lapisan masyarakat berbagai kaum dapat mengecap nikmat hasil daripada kecekapan pengurusan dan pentadbiran sedia kala. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata belanjawan pengurusan yang membabitkan RM 1 bilion dan RM 600 juta belanjawan pembangunan akan diurus tadbir secara berhemah bagi memastikan supaya tidak berlaku sebarang ketirisan.

Katanya kejayaan kerajaan negeri menjana RM 300 juta keuntungan membuktikan Pakatan Rakyat bukan sahaja berkemampuan menggerakkan reformasi jalanan tetapi juga berjaya membuktikan kejayaan reformasi pentadbiran yang cekap. Menurut Khalid, program memperkasa wanita juga diberi keutamaan dengan menjemput beberapa NGO dalam dan luar negara termasuk dari UNESCO bagi mendapat pandangan berhubung usaha memartabatkan kaum wanita di negeri Selangor.Selain itu katanya, golongan muda juga akan diberi keutamaan bagi menggalakkan generasi muda menjadi usahawan sebenar yang tidak bergantung kepada mana-mana pihak. 

Kesimpulannya, belanjawan yang baik tergantung pada sang pemerintahnya. Jika pentadbirnya amanah dan bertanggungjawab, maka belanjawan itu akan menepati sasaran yang direncanakan. Bagi saya, kearah mana wang itu diperuntukkan adalah perkara kedua. Perkara pertama yang mesti kita lihat adalah kejujuran dan kebertangungjawaban sesebuah kerajaan bagi memastikan ia dilaksanakan dengan bersih, amanah, tidak tiris dan tidak mendokong amalan kroni dan rasuah..Salam.


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

Saturday, 19 November 2011

Royal Theater Selangor kini dibuka



Royal Theater Selangor, bangunan ikon yang dikenali kerana reka bentuknya akan dibuka pada pertengahan bulan ini (Oktober 2011) selepas 3 tahun terbengkalai dan RM800,000 dibelanjakan untuk kerja-kerja pemulihan. Bangunan Royal Theater yang menggunakan reka bentuk Melayu Bugis setinggi 6 tingkat itu dibina ketika Barisan Nasional (BN) memerintah dengan kos RM42 juta. Perkara ini dinyatakan oleh Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dalam interview khas dengan TV Selangor baru-baru ini.

Ia sepatutnya boleh digunakan pada tahun 2008, tetapi kerja-kerja penyiapan tidak mengikut spesifikasi dan pelan asal. Oleh kerana itu, kerajaan baru Pakatan Rakyat terpaksa mengeluarkan RM800,000 untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan. Setelah kerja-kerja baik pulih itu dijangka siap, kompleks teater ini akan mengadakan pementasan pertamanya pada pertengahan bulan ini (Oktober 2011). Majlis pelancaran ini dijangka akan dilakukan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibn Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj pada Disember ini sempena ulang tahun baginda.

            Cadangan reka bentuk kompleks teater ini diluluskan pada September 2002 dengan peruntukan setinggi RM43.84 juta termasuk perbelanjaan untuk sistem peralatan dan lanskap yang mencecah RM7 juta. Ketua Audit Negara dalam laporannya mendapati beberapa kelemahan dikenalpasti dalam kerja pembinaan teater antaranya kemasan yang renggang, tinggi tangga yang tidak sekata, bekalan elektrik yang ditamatkan, paip tersumbat, premis tidak berpagar dan kelewatan menyiapkan projek sehingga 14 bulan. Kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) mengambil serius laporan Ketua Audit Negara dan mahu isu-isu berbangkit diatasi dengan kadar segera.

Asalnya bangunan ini siap pada 6 Ogos 2008 dan mendapat sijil layak menduduki bangunan (CF) pada 21 Oktober 2008. Projek ini lewat siap selama 14 bulan akan tetapi ia masih tidak boleh digunakan kerana kemas kini yang tidak sempurna. Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) dilantik kerajaan negeri untuk mengaudit bangunan Royal Theater Selangor. PAM juga diarah memastikan pembinaan teater ini dibina mengikut piawaian undang-undang dan kerja-kerja pemulihan dan penyiapan sepenuhnya dimulakan sejak awal tahun ini.

Pengekalan nama Royal Theater adalah kehendak baginda Sultan Selangor. Penubuhan Royal Theater adalah atas permintaan Sultan Selangor terdahulu, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj dan cadangan awal projek ini adalah disebuah tapak di Seksyen 7 Shah Alam, tetapi kemudian dipindahkan ke Jalan Persidangan Seksyen 14. Tugas menyelia projek ini diserahkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

            Rodziah berkata kerajaan negeri kecewa dengan hasil kerja projek ini kerana syarikat kontraktor dilantik secara runding terus oleh pentadbiran terdahulu gagal untuk mengikuti spesifikasi asal.Menurut Rodziah, kos Royal Theater yang kini melebihi RM42 juta dianggap tidak sepadan dengan hasilnya apabila siap sepenuhnya. Katanya projek itu didapati berlaku ketirisan sehingga harganya melambung dan kosnya boleh dijimat sekurang-kurangnya 25% jika projek ini dijalankan ketika Pakatan Rakyat mentadbir.

Tambah Rodziah, Royal Theater akan menjadi satu lagi ikon di Shah Alam khusnya dan Selangor amnya bersesuaian dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan negeri Selangor sebagai hub hiburan. Selain itu, Royal Theater juga mampu menjadi alternatif bagi kegiatan kebudayaan selain Istana Budaya di Kuala Lumpur kerana ia tetap berada di kawasan Lembah Kelang. Tambahnya Royal Theater akan mengadakan pelbagai jenis persembahan berunsur kebudayaan termasuk persembahan nyanyian dan muzik yang bersesuaian dalam dan luar negara. Katanya, acara-acara kebudayaan akan dirangka bagi menjadikan acara berlangsung berterusan sepanjang tahun.

Program kebudayaan ini dikenali sebagai menjunjung kasih turut diadakan sempena pelancarannya. Tambah Rodziah lagi, pihaknya akan mengambil masa selama 6 bulan bermula Oktober ini untuk mengemaskan pengurusan Royal Theater dan mengkaji sama ada ia akan diuruskan oleh satu entiti berlainan. Setakat ini Royal Theater ini masih dibawah urusan MBSA dan pada masa ini MBSA menyediakan 5 kaki tangan sepenuh masa mengawal selia kompleks Royal Theater.


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

Latihan keusahawanan untuk tingkatkan pendapatan belia


Satu kajian sedang dijalankan bagi mencari mekanisme untuk menangani kos sara hidup generasi muda di Selangor. Hasil kajian tersebut akan membantu kerajaan negeri memutuskan langkah terbaik dalam membantu generasi muda yang berpendapatan dibawah RM1500 sebulan, kata Menteri Besar Selangor. Kata beliau, kajian dilakukan di Singapura dijadikan contoh untuk mencari pendekatan yang sesuai dan satu mesyuarat Town Hall akan diadakan dan hasil perbincangan tersebut akan diterangkan kemudian.

Kerajaan persekutan menetapkan RM730 sebulan sebagai garis kemiskinan bagi sebuah keluarga. Ujar beliau lagi, kekurangan pendapatan dengan peningkatan sara hidup merupakan punca gejala seperti rasuah diamalkan bagi menampung kos kehidupan. Dibawah Bajet Selangor 2012, RM30 juta diperuntukkan bagi program-program keusahawanan belia.


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]





Kerajaan Selangor berjaya kurangkan hutang negeri


Salam....ikuti liputan TV Selangor ini...

Keupayaan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor membayar hutang tertunggak yang ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional yang lepas membuktikan Pakatan mampu mentadbir dan mengurus ekonomi dengan lebih baik dan efektif. ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali berkata pentadbiran dulu melonggakkan sejumlah hutang yang besar kepada kerajaan pusat dan ini membebankan rakyat untuk membuat pembayaran balik pada masa hadapan.

Menurut Azmin lagi, pengurusan dan pentadbiran kewangan secara berhemah yang diamalkan kerajaan negeri merupakan pembaharuan yang perlu diteladani dalam memastikan tidak berlaku ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan. Azmin berkata lagi, pengurangan hutang secara mendadak, RM 173.46 juta sudah tentu menghasilkan penjimatan kepada rakyat dan mengurangkan beban hutang rakyat kepada kerajaan persekutuan.

Komen saya, buat apa jadi kerajaan kalau hanya pandai melonggokkan hutang. Malangnya nasib rakyat Selangor dahulu kerana setiap rakyatnya menanggung hutang sebegini rupa. Apa maknanya mempunyai bangunan yang tinggi menjulang, tapi berhutang sana sini. Lebih baik negeri dianggap mundur kerana kurang pembangunan tetapi hutang sedikit ataupun tiada. Itu lebih maju sebenarnya!!..Salam


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]