Saturday, 24 September 2011

Kerajaan Selangor memperkenalkan skim gaji minima

Salam. Masalah gaji minima ini sudah lama diperdebatkan di Malaysia ini. Malaysia sepatutnya telah lama mempraktikkan skim ini sejak dulu lagi. Dengan kos sara hidup yang melambung tinggi, bagi saya adalah mustahil untuk rakyat Malaysia yang bergaji kurang daripada RM1000 untuk hidup selesa lebih-lebih lagi dikawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Jadi, kerajaan Selangor telah bergerak setapak lagi dengan memperkenalkan skim gaji minima kepada rakyat yang bekerja dengan kerajaan negeri. Ikuti laporan TV Selangor dibawah ini:

Langkah Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan skim gaji minima yang bermula Januari tahun hadapan disambut baik Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA). Pelaksanaannya yang sekian lama dinantikan akhirnya kini dapat direalisasikan seterusnya dapat membantu meringankan beban rakyat di negeri ini, kata presiden FOMCA, Datuk Marimuthu Nadason. Bahkan menurut beliau pelaksanaan skim gaji minima ini sekali gus dapat memacu ekonomi kearah negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata demikian kepada TV Selangor selepas menghadiri sidang media bulan kewangan berhemat 2011 anjuran badan itu di Petaling Jaya semalam. Menurut beliau lagi, sebelum ini pihaknya pernah mencadangkan gaji minima diletakkan pada paras RM1200 sebulan berdasarkan kos sara hidup rakyat di negara ini. Namun kerajaan negeri pada pelancaran agenda Selangorku, pelan dan visi untuk 3 tahun mengumumkan yang akan melaksanakan skim gaji minima kepada semua kakitangan anak syarikat kerajaan negeri dengan gaji paling rendah RM1500 sebulan.

Dalam pada itu diujar sama ada tindakan kerajaan negeri memperkenalkan skim gaji minima akan menjejaskan kewangan negeri, ia disanggah oleh Marimuthu. Malah ujarnya pelaksanaan skim gaji minima ini hakikatnya akan menguntungkan kerajaan negeri dan negara kerana ia dapat meningkatkan produktiviti kakitangannya dalam menjalankan tugas.

Saya berharap skim ini dapat dicontohi kerajaan negeri yang lain dan yang paling penting kerajaan pusat. Kita patut bekerjasama membuat yang terbaik untuk rakyat terbanyak. Diharap skim ini dapat memacu ekonomi yang lebih pesat khususnya kepada negeri Selangor dan negara Malaysia amnya. Salam


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

No comments:

Post a Comment