Salam... Logo ‘Selangorku’ yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah wadah pengukuhan jalinan kerjasama antara barisan kepimpinan kerajaan negeri dengan rakyat Selangor dalam usaha memastikan setiap pembangunan dinikmati oleh akar umbi negeri ini.Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ‘Selangorku, Negaraku’ adalah tapak baru dalam meneruskan kesinambungan pemerintahan yang adil dan telus sesuai dengan amanah yang diberikan oleh rakyat.
Penubuhan ‘Selangorku’ merupakan idea hasil perbincangan semua pihak termasuk kakitangan awam kerajaan negeri sebagai lambang penyatuan bersama dan keakraban antara rakyat dengan pihak pentadbiran negeri dalam usaha melestarikan pembangunan negeri ini.
“Sekarang telah muncul idea tentang cara bagaimana menunjukkan kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor memberi pelbagai bantuan kepada rakyat dan untuk menunjukkan cara sewajarnya rakyat berasa gembira mendapat hak mereka secara saksama dan adil daripada Kerajaan Selangor.
“Sebagai lambang kerjasama rakyat dengan kerajaan negeri dalam usaha menjayakan pelbagai program MES yang dilancarkan pada Jun 2008 iaitu genap 100 hari Pakatan rakyat membentuk kerajaan negeri di Selangor,” katanya. Sebelum ini, Kerajaan Selangor memperkenalkan dasar ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor, Hasil Negeri Untuk Rakyat’ yang dilancarkan pada 21 Jun 2008, genap 100 hari Pakatan Rakyat memerintah Selangor. Dengan penduduk berjumlah 5.3 juta orang, Selangor adalah nadi ekonomi Malaysia dan menjadi paksi aktiviti politik, kebudayaan dan sosial negara ini.
Logo Selangorku yang dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Selangor |
Logo Selangorku menggunakan warna kuning, merah dan putih yang menggambarkan cinta yang mendalam oleh rakyat dan pimpinan negeri terhadap Selangor. “Kerajaan negeri ingin memberitahu rakyat, bahawa kita bersama-sama mereka dalam pembangunan Selangor. Sebab itu, tema itu dipilih. Tema yang diberikan adalah ringkas, hanya perkataan ‘Selangorku’ yang menonjolkan huruf ‘O’ dalam bentuk hati sebagai simbol dengan maksud Selangor sentiasa di hati rakyat,” katanya.
Abdul Khalid menegaskan rakyat Selangor berhak untuk meningkatkan kefahaman terhadap prinsip-prinsip demokrasi dalam menjalani kehidupan yang lebih bebas dan terbuka.
Justeru mereka diberi ruang memberikan pandangan dan kritikan membina terhadap pihak kerajaan dengan ciri berkenaan diterapkan dalam tema Selangorku. Abdul Khalid menambah, skim dan insentif yang diberikan kepada rakyat sebagai merealisasikan harapan dan dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor dengan mengembalikan limpahan hasil mahsul negeri kepada rakyat seperti yang dijanjikan ketika Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu.
“Bagi saya dan barisan exco, pimpinan negeri adalah sama taraf dengan rakyat jelata dari segi ruang dan peluang untuk meningkatkan pendapatan dan meningkatkan kualiti kehidupan di bumi Darul Ehsan ini. “Tidak ada lagi Meteri Besar dapat tanah. Tidak ada lagi Menteri Besar dapat projek. Ini sudah kita buktikan,” katanya. Majlis pelancaran logo Selangorku disempurnakan oleh Abdul Khalid dengan memecahkan bongkah ais yang mengandungi logo program sebagai simbolik pelancaran.
“Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan”.....
[Sumber: TV Selangor dan Selangorkini Online]
No comments:
Post a Comment