Wednesday 28 September 2011

Pulau Ketam


             Salam....ramai orang yang mengenali nama Pulau Ketam ini daripada pembungkus-pembungkus makanan kering yang berasaskan laut contohnya belacan dan ikan bilis. Jika anda membelek produk-produk ini di pasar raya besar, pasti anda akan melihat nama Pulau Ketam di label pengeluarnya. Pulau Ketam merupakan salah satu pengeluar produk seumpama ini di negara Malaysia.

            Ramai yang tahu Pulau Ketam ini tetapi tidak mengetahui di mana letaknya Pulau Ketam ini. Pulau ini terletak di kawasan Pelabuhan Klang. Jaraknya hanya 10km daripada pelabuhan ini. Secara umumnya, Pulau Ketam mempunyai penduduk yang rata-ratanya merupakan nelayan. Pulau Ketam mempunyai 2 buah kampung besar iaitu Kampung Pulau Ketam dan Kampung Sungai Lima.


            Pulau Ketam bukan sahaja terkenal dengan hasil laut dan perngeluar produk makanan laut, tetapi ia juga merupakan sauatu kawasan eko-pelancongan. Pulau memiliki hutan paya bakau yang sungguh cantik. Apabila anda ke sana, anda akan dapat melihat hutan paya bakau beserta haiwan-haiwan seperti ketam paya dan sebagainya. Selain itu, Pulau Ketam juga terkenal dengan restoran-restoran makanan lautnya yang cukup menyelerakan..Salam


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: Virtual Malaysia.com]

Batu Caves...tumpuan pelancong ketika Thaipusam



            Salam....siapa lagi yang tidak mengenali Batu Caves di negeri Selangor ini. Kawasan ini amat popular terutamanya para penganut agama Hindu bagi meraikan Thaipusam. Parcaya atau tidak, Batu Caves ini menjadi tempat bagi sambutan Thaipusam terbesar di dunia. Hampir 800,000 penganut agama Hindu akan berkumpul di Batu Caves ini pada musim Thaipusam dan sebahagiannya akan membawa cavadi. Pelancong di seluruh dunia juga datang ke Batu Caves ini semata-mata mahu melihat perayaan Thaipusam ini. Jadi, tidak hairanlah jika Batu Caves ini sinonim dengan perayaan Thaipusam.

            Batu Caves ini menempatkan kuil-kuil bagi penganut agama Hindu. Pintu masuk gua ini sebenarnya tinggi, kalau tidak silap saya sekitar 100m dari paras laut. Jadi, kita perlulah mendaki sebanyak 272 anak tangga bagi memasuki pintu gua ini.  Pada bahagian depan Batu Caves ini terdapat satu patung berwarna keemasan yang sungguh besar.


            Batu Caves ini juga boleh dilawati pada waktu-waktu biasa. Selain itu, Batu Caves ini juga terkenal sebagai syurga rock climbing. Ramai pencinta aktiviti ini datang ke Batu Caves ini untuk mendaki bukit batu kapur ini. Batu Caves ini tidaklah terlalu jauh daripada Bandar Raya Kuala Lumpur. Jadi, jika anda mahu melihat dengan lebih dekat Batu Caves ini atau mahu memdaki bukit batu kapur ini, silalah ke Batu Caves...Salam...



“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: Virtual Malaysia.com]

Tuesday 27 September 2011

Bukit Melawati...kota bersejarah



            Salam..hari ini saya ingin berkongsi cerita sedikit mengenai Bukit Melawati. Bukit Melawati ini terletak betul-betul di tengah Bandar Kuala Selangor. Bukit ini merupakan kubu pada zaman penjajah. Sebelum itu, saya akan cerita sedikit tentang sejarah Bandar Kuala Selangor.

            Mengikut sejarah negeri Selangor, Kuala Selangor ini telah dibuka sekitar abad ke-16. Kota ini pernah dikuasai oleh Empayar Melaka dan kemudiannya Empayar Johor. Pada hujung abad ke-17, Bugis menguasai kota ini. Pada sekitar tahun 1757, pembesar-pembesar dan penduduk-penduduk kota ini bersama-sama kota Klang bersatu membentuk sebuah kerajaan Selangor. Raja Lumu iaitu putera Raja Bugis telah ditabalkan sebagai pemerintah negeri Selangor.

            Selepas tahun 1757, pusat pemerintahan kerajaan Selangor telah berpindah daripada Kuala Selangor ke Jugra dan akhirnya ke Klang. Kuala Selangor menyaksikan pelbagai kisah sejarah khususnya apabila zaman penjajahan Belanda dan British. Jadi, Bukit Melawati merupakan satu kawasan yang sangat strategik bagi tujuan pertahanan di kota tersebut.



            Kini, apabila anda ke bukit ini, anda akan melihat kesan-kesan peninggalan kota dan kubu pada zaman penjajah. Apa yang menariknya, anda akan melihat sebuah batu yang dipercayai menjadi tempat memancung kepala pesalah pada zaman pendudukan Jepun di Malaysia. Bukit ini juga menpunyai sebuah rumah api yang sangat menarik. Ini kerana bukit ini betul-betul berada di sebelah Sungai Selangor yang menjadi nadi bagi kota ini.

            Apabila anda ke bukit ini, ada akan dapat melihat Bandar Kuala Selangor dari arah atas bukit. Anda boleh menyaksikan panorama yang indah disekeliling bandar ini. Tidak jauh dari bukit ini terdapat taman yang menempatkan pelbagai flora dan fauna. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang bukit ini, saya sarankan anda melancong sendiri ke Bukit Melawati. Salam

“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: Virtual Malaysia.com]

Ekonomi Selangor terbaik di Malaysia

Kadar pertumbuhan bagi negeri Selangor sehingga pada tahun 2030 dijangka pada kadar 5% satahun. Statistik juga menunjukkan hampir 22% nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia disumbangkan oleh negeri Selangor. Perkara ini dinyatakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Muhammad Khusrin Munawir dalam taklimat Yang di-Pertuan Agong di bilik gerakan negeri, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Majlis itu adalah sempena lawatan rasmi Kebawah Duli Tuanku ke Selangor. Taklimat tersebut turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, para exco kerajaan negeri, dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Tambahnya, dari segi pelaburan pada tahun 2010, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM10.6 bilion. Sementara bagi 6 bulan pertama tahun ini, Selangor telah mengatasi negeri-negeri lain dalam membawa masuk pelaburan ke Malaysia dengan nilai pelaburan mencecah RM5.2 billion.

Katanya, Selangor akan terus menumpukan kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri. Menurutnya lagi, agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor ini Bakal memanfaatkan seleruh rakyat negeri ini daripada lahir hinggalah ke usia emas. Tambah Khusrin, dengan pentadbiran negeri yang telus dan berorientasi pelaburan, Selangor akan terus menjadi negeri pilihan pelabur asing serta komuniti perniagaan dalam dan luar negara.



“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

Negeri lain disaran mencontohi kemajuan Selangor – Yang di-Pertuan Agong

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah kesejahteraan yang dikecapi negara ini akan berterusan jika pembangunan fizikal sentiasa diseimbangkan dengan pembangunan rohani. Titah baginda walaupun pembangunan fizikal penting memandangkan ia satu keperluan untuk pencapaian ekonomi yang lebih baik, namun pembangunan rohani yang menzahirkan rakyat yang tahan uji, berdisiplin dan bermoral adalah juga sama penting.

Titah baginda pada majlis santapan diraja di Istana Shah Alam malam tadi, sempena lawatan rasmi 3 hari baginda ke Selangor bermula hari rabu. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Turut hadir Perdana Menteri, Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin serta Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim.

Baginda bertitah bagi menjamin Malaysia dapat meneruskan agenda pembangunannya, rakyat perlu menjana perpaduan, keharmonian dan kestabilan ke tahap lebih baik. Yang di-Pertua Agong bertitah pembangunan pesat di Selangor adalah hasil pembangunan yang dirancang dengan teliti dan teratur oleh pihak kerajaan. Pengalaman kerajaan Selangor yang antara lain mengatasi kemiskinan di negeri itu, pembangunan dan kemajuan yang dinikmati Selangor harus diteladani negeri lain bagi mencapai kejayaan pesat, titah baginda



“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

Saturday 24 September 2011

Homestay Kampung Sungai Haji Dorani

Salah satu rumah kampung bagi homestay di Kg. Sg. Hj. Dorani


            Salam...homestay sekarang telah menjadi salah satu tarikan pelancongan di negera Malaysia. Selangor tidak ketinggalan dalam sektor ini dan ia merupakan salah satu cabang pelancongan yang popular di negeri bertuah ini.

            Homestay ini amat unik kerana ia berkonsepkan suasana kampung. Bagi yang duduk di bandar, pakej ni memang sangat sesuai kerana ia dapat menenangkan fikiran kita dengan suasana kampung yang mendamaikan. Di Selangor sahaja sudah banyak kampung yang telah memperkenalkan pakej ini, salah satu daripadanya ialah Homestay Kampung Sungai Haji Dorani. Saya memilih homestay ini kerana ia amat terkenal di Selangor.

Salah satu aktiviti di homestay tersebut iaitu memancing ikan

            Homestay ini terletak kira-kira 10 kilometer daripada Bandar Sungai Besar dan kira-kira 35 kilometer daripada Bandar Sekinchan. Homestay ini berlatarbelakangkan suasana sawah padi yang cukup mendamaikan. Homestay ini menawarkan pelbagai aktiviti seperti melihat bagaimana cara untuk menanam padi, menangkap ikan dan lain-lain.

            Uniknya, anda akan tinggal di rumah kampung dan dihidangkan dengan makanan tempatan serta tarian daripada masyarakat setempat. Anda juga berpeluang mencuba permainan kampung bersama penduduk tempatan. Bagi saya, homestay ini amat sesuai bagi orang yang suka dengan suasana kampung yang menghijau.  

Penduduk tempatan sedang menuai padi menggunakan jentera moden

Muara sungai yang mendamaikan

            Dalam mengejar kemajuan pembangunan di negeri Selangor ini, nilai-nilai tradisi mestilah dikekalkan dan dijaga untuk generasi akan datang. Jadi,datanglah melancong di homestay-homestay di sekitar Selangor. Salam....


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: Virtual Malaysia.com dan
Portal Rasmi Majlis Daerah Sabak Bernam]

Selangor catat pelaburan RM5.2 bilion dalam tempoh 6 bulan pertama 2011


Salam...Selangor sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya memperolehi kadar pelaburan yang tertinggi di Malaysia. Ikuti liputan TV Selangor dibawah:

Negeri Selangor mencatatkan pelaburan berjumlah RM5.2 bilion dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini. Dalam satu kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor berkata, dalam tempoh ini Selangor menerima pelaburan asing sebanyak RM3.1 bilion dan pelaburan tempatan sebanyak RM2.1 bilion. Mengikut pecahan sektor, industri pembuatan elektronik mencatatkan pelaburan tertinggi dengan RM1.3 bilion daripada 18 projek yang diluluskan membabitkan RM110 juta pelaburan tempatan dan RM1149 juta (RM1.149 bilion) pelaburan asing.

Jepun menjadi pelabur terbesar Selangor dengan 13 projek membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM1.136 bilion diikuti Korea Selatan sebanyak RM652 juta bersamaan dengan 3 projek dan Singapura dengan RM510 juta bersamaan dengan 8 projek.Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jumlah ini menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi pelabur asing dan tempatan terhadap kerajaan negeri.

Komen saya, kerajaan yang telus dan amanah akan menunjukkan prestasi yang baik dari pelbagai aspek terutamanya aspek ekonomi. Pengurusan kewangan yang cekap dan beramanah akan memberi manfaat besar kepada rakyat jelata. Jadi, fikirlah sendiri...Salam



“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

Freedom Film Fest (FFF) 2011

Penganjuran Freedom Film Fest (FFF) bukan sekadar menghiburkan tetapi juga menjadi satu medium kreatif yang mampu menyebarkan mesej merangkumi isu-isu semasa seperti hak asasi manusia, demokrasi dan kemasyarakatan. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail berkata penganjuran program sebegini selari dengan usaha kerajaan negeri untuk merakyatkan budaya. Lebih daripada itu, program sebegini juga akan menyuburkan prinsip kebebasan maklumat yang merupakan elemen penting dalam sistem demokrasi.

Rodziah berkata demikian ketika sidang media penganjuran Freedom Film Fest 2011 (FFF) yang dijadual berlangsung pada 1 dan 2 Oktober ini bertempat di Auditorium Wisma Bently Mutiara Damansara. FFF 2011 akan menayangkan 20 filem tempatan dan antarabangsa yang bertemakan hak kanak-kanak, politik identiti, alam sekitar dan aktivism, wanita dan agama, piliharanraya dan demokrasi, hak seksualiti, kebangkitan rakyat serta hubungan antara agama.

FFF juga akan diadakan di beberapa lokasi yang lain sepeti Pulau Pinang, Perak, Johor dan Sarawak sepanjang bulan Oktober. Kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan menjalinkan kerjasama dengan pusat komuniti masyarakat (KOMAS) dalam menjayakan program ini setiap tahun sejak 7 tahun lalu.

Tarikan utama FFF tahun ini adalah tayangan perdana 3 buah dokumentari yang memberi tumpuan kepada hak asasi manusia antaranya Huruf J hasil karya Afiq Din yang menceritakan cabaran yang dihadapi oleh janda di Malaysia. Sementara itu, seorang wartawan media cetak tempatan, Liaw Pay Wen akan menyajikan filem pertamanya yang bertajuk Laut Ummah Am yang mendalami kehidupan nelayan Orang Asli Seletar, Orang Laut disekitar Selat Johor serta dokumentari berjudul Senyap, Tersentak yang diterbitkan pusat KOMAS mengenai 8 tuntutan BERSIH 2

Ketiga-tiga dokumentari itu berebut untuk merangkul anugerah Filem Hak Asasi Manusia terbaik FFF 2011 semasa upacara anugerah di Petaling Jaya pada 1 Oktober ini. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi FFF di freedomfilmfest.komas.org untuk maklumat lengkap mengenai jadual tayangan dan sinopsis. Maklumat juga boleh didapati melalui laman sosial seperti facebook dan twitter untuk mendapatkan maklumat terkini.



“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

Kontrak untuk semua

Salam, ikuti liputan TV Selangor ini:

Kerajaan Negeri Selangor akan mengeluarkan sendiri lesen kontraktor kelas F bagi memastikan setiap kontraktor di negeri Selangor mendapat peluang yang sama rata dalam mendapatkan projek-projek pembangunan di negeri ini. Exco Kerajaan Selangor, Dr. Xavier Jeyakumar berkata, pengeluaran lesen kontraktor itu akan merangkumi bumiputera dan bukan bumiputera. Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sebuah forum anjuran Persatuan Perniagaan India Malaysia baru-baru ini.

Forum berjudul “Pertempuran Memenangi Hati dan Undi Masyarakat India” itu mengumpulkan ahli politik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, ahli akademik, masyarakat sivil dan ahli perniagaan. Xavier juga berkata cadangan untuk mengeluarkan lesen kontraktor itu adalah untuk membuktikan perntadbiran kerajaan negeri pimpinan menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telus dan tidak mendiskriminasikan mana-mana kaum dalam mendapatkan kontrak kerajaan negeri.

Berpegang kepada prinsip “kontrak adalah untuk semua”, Xavier berkata cadangan ini akan mewujudkan persaingan sihat dikalangan kontraktor untuk membida kontrak pembangunan kerajaan negeri. Beliau menambah meskipun cadangan itu berdepan dengan banyak rintangan di peringkat persekutuan, namun sekurang-kurangnya ia diluluskan di peringkat kerajaan negeri. Sehingga ini Xavier menjelaskan beberapa projek besar telah pun ditendarkan oleh kerajaan negeri Selangor antaranya projek pemuliharaan Sungai Kelang dan Skim Perumahan dan Pembangunan Bandar Campuran di Tanjung 12, Bukit Beruntung dan Ijok.

Komen saya, cadangan ini amat baik bagi mengelakkan kroni-kroni sahaja yang mendapat projek. Dengan kaedah ini, ia akan dapat memberi peluang kepada semua rakyat dalam sama-sama membangun negeri dan ia juga akan dapat mengurangkan masalah pasca-projek seperti longkang pecah dan sebagainya. Dengan kata lain, kerajaan negeri akan memilih kontraktor yang terbaik dalam melaksanakan projek mereka. Akhirnya, rakyat juga yang mendapat manfaatnya. Salam



“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

Kerajaan Negeri Selangor ambil alih Alam Flora Sdn. Bhd.


 Keputusan Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih tugas pembersihan Alam Flora Sdn. Bhd. mampu menjimatkan perbelanjaan kewangan kerajaan negeri sehingga RM20 juta setahun dalam sektor itu. Usaha ini sekali gus memberi sepenuhnya kuasa kepada kerajaan negeri untuk memastikan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bercakap pada sidang media petang tadi, Khalid berkata kerajaan Selangor sebelum ini perlu membayar cas pengurusan sebanyak 10%  kepada Alam Flora. Oleh yang demikian, Khalid menganggarkan kurang daripada RM200 juta akan digunakan bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan tersebut berbanding RM400 juta sebelum ini.

5 pihak berkuasa tempatan (PBT) dipertanggungjawabkan untuk memastikan kerja-kerja pemotongan rumput dan pembersihan longkang dikawasan kediaman sekitar Selangor akan dikendalikan dengan lebih baik. Katanya kerja-kerja pembersihan oleh Alam Flora sebelum ini mendapat reaksi negatif daripada penduduk setempat berikutan projek yang diperoleh dipajakkan kepada pihak yang ketiga.

PBT yang dimaksudkan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Maljis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK). Manakala kelima-lima PBT tersebut akan membantu Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang mempunyai sumber kewangan terhad.

Sementara itu Khalid berkata walaupun PBT yang ditugaskan tidak mempunyai kelengkapan secukupnya pada peringkat awalm namun kerajaan negeri telah mengarahkan penubuhan task force meningkatkan keberkesanan pengurusan tersebut. Walaubagaimanapun, Khalid menjelaskan Alam Flora tetap akan mengendalikan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal di negeri Selangor selain ianya tidak bercanggah dengan perjanjian kontrak bersama Alam Flora.


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

Selangor catat simpanan tetap tertinggi sejak 28 tahun


       Dalam tempoh separuh tahun 2011, kerajaan negeri Selangor berjaya menambah simpanan tunai sebanyak RM200 juta menjadikan RM1100 juta (RM1.1 bilion) dan menjadikan ia sebagai rekod kewangan terbaik dalam tempoh 28 tahun selepas 3 tahun lebih Pakatan Rakyat mentadbir negeri Selangor. Perkara ini dinyatakan oleh menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada majlis santapan malam anjuran kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Selain Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat adalah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Menurutnya pada akhir tahun lepas, simpanan tunai kerajaan negeri Selangor berjumlah sebanyak RM918 juta. Secara keseluruhan katanya, kejayaan Selangor memperkasa pembangunan dan melestarikan kemajuannya adalah dengan restu, nasihat dan sokongan penuh Tuanku Sultan terhadap kerajaan negeri sekarang yang megamalkan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab, berhemah dan berhemat.

Katanya negeri Selangor juga telah menunjukkan peningkatan yang begitu ketara di dalam jumlah pelaburan dalam negeri. Jelasnya lagi semenjak 2008 hingga Jun 2011, Selangor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah lebih RM35000 juta (RM35 bilion). Ini bermakna ujarnya kerajaan negeri Selangor sekarang bukan sahaja berjaya meningkatkan hasil negeri, tetapi juga dapat melaksanakan pengurusan kewangan dengan cekap dan berkesan.

Komen saya, kerajaan negeri Selangor yang baru telah terbukti kewibawaannya dengan berjaya meningkatkan simpanan negeri pada tahap tertinggi sejak 28 tahun yang lalu. Bagi saya kerajaan yang baru cukup hebat kerana mereka mengambil waktu hanya 3 tahun lebih sahaja untuk mencapai rekod ini. Salam..


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

Kerajaan Selangor memperkenalkan skim gaji minima

Salam. Masalah gaji minima ini sudah lama diperdebatkan di Malaysia ini. Malaysia sepatutnya telah lama mempraktikkan skim ini sejak dulu lagi. Dengan kos sara hidup yang melambung tinggi, bagi saya adalah mustahil untuk rakyat Malaysia yang bergaji kurang daripada RM1000 untuk hidup selesa lebih-lebih lagi dikawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Jadi, kerajaan Selangor telah bergerak setapak lagi dengan memperkenalkan skim gaji minima kepada rakyat yang bekerja dengan kerajaan negeri. Ikuti laporan TV Selangor dibawah ini:

Langkah Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan skim gaji minima yang bermula Januari tahun hadapan disambut baik Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA). Pelaksanaannya yang sekian lama dinantikan akhirnya kini dapat direalisasikan seterusnya dapat membantu meringankan beban rakyat di negeri ini, kata presiden FOMCA, Datuk Marimuthu Nadason. Bahkan menurut beliau pelaksanaan skim gaji minima ini sekali gus dapat memacu ekonomi kearah negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata demikian kepada TV Selangor selepas menghadiri sidang media bulan kewangan berhemat 2011 anjuran badan itu di Petaling Jaya semalam. Menurut beliau lagi, sebelum ini pihaknya pernah mencadangkan gaji minima diletakkan pada paras RM1200 sebulan berdasarkan kos sara hidup rakyat di negara ini. Namun kerajaan negeri pada pelancaran agenda Selangorku, pelan dan visi untuk 3 tahun mengumumkan yang akan melaksanakan skim gaji minima kepada semua kakitangan anak syarikat kerajaan negeri dengan gaji paling rendah RM1500 sebulan.

Dalam pada itu diujar sama ada tindakan kerajaan negeri memperkenalkan skim gaji minima akan menjejaskan kewangan negeri, ia disanggah oleh Marimuthu. Malah ujarnya pelaksanaan skim gaji minima ini hakikatnya akan menguntungkan kerajaan negeri dan negara kerana ia dapat meningkatkan produktiviti kakitangannya dalam menjalankan tugas.

Saya berharap skim ini dapat dicontohi kerajaan negeri yang lain dan yang paling penting kerajaan pusat. Kita patut bekerjasama membuat yang terbaik untuk rakyat terbanyak. Diharap skim ini dapat memacu ekonomi yang lebih pesat khususnya kepada negeri Selangor dan negara Malaysia amnya. Salam


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

Penerbangan pertama ke Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah

            
            Salam..Diam tak diam, bulan Syawal bakal meninggalkan kita. Kini, bulan Zulkaedah bakal menjelang tiba dan seterusnya bulan Zulhijjah. Kurang dari 2 bulan lagi, kita bakal menyambut satu lagi hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Aidiladha. Oleh itu, sudah tentulah bakal jemaah haji kini sudah bersiap sedia untuk berangkat ke bumi para anbiya’ ini. Ikuti liputan TV Selangor berkaitan perjalanan jemaah haji pada tahun ini:

Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji, Dato’ Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke tanah suci untuk menunaikan rukun Islam kelima bagi tahun ini ialah pada 29 September ini. Syed Saleh berkata 450 jemaah haji itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan sewa khas haji iaitu pesawat Malaysia Airlines (MAS), Saudi Airlines pada hari berkenaan iaitu pada waktu pagi dan tengah hari.

Mereka adalah sebahagian daripada 28000 jemaah Malaysia yang dibenarkan mengikut kuota yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi pada musim haji tahun ini. Menurut Syed Saleh, jemaah haji Malaysia ketika ini sedang mengikuti peringkat akhir kursus haji iaitu kursus perdana di peringkat negeri selepas menghadiri kursus asas dan kurusu intensif.

Syed Saleh berkata seramai 800 petugas Tabung Haji akan bertugas kali ini untuk menjaga kebajikan para jemaah dan mereka akan berangkat ke sana secara berperingkat bermula Rabu depan. Katanya lagi penerbangan jemaah haji balik ke Malaysia dijadualkan bermula pada 12 November dan dijangka berakhir pada 11 Disember.

Saya mengucapkan selamat berangkat kepada semua jemaah haji yang bakal menunaikan fardhu haji pada tahun ini. Semoga mendapat haji yang mabrur. Salam


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

Syabas PPAS....

            Salam....Dalam sibuk-sibuk melayan facebook, tiba-tiba saya terlihat satu post yang dihantar oleh rakan saya berkenaan dengan perpustakaan baru di Shah Alam iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Akan tetapi, kenapa saya tertarik dengan perpustakaan baru ini? Jawapannya anda boleh dapat apabila anda membaca ulasan saya dan melihat gambar-gambar perpustakaan tersebut.

            Apabila kita mendengar pasal perpustakaan, mesti kita terfikir rak-rak buku yang banyak dan membosankan tetapi PPAS memberikan satu kelainan yang tiada pada perpustakaan lain di Malaysia ini. Apa yang menarik sangat PPAS ni?

            Pertama, PPAS ialah perpustakaan awam negeri yang pertama memperkenalkan konsep yang betul-betul santai. Dengan susunan kerusi dan meja yang begitu santai menjadikan ia sebuah perpustakaan yang sangat unik. Kedua, hiasan dalamannya sangat kemas dan mendamaikan sehingga kita seolah-oleh berada di rumah sendiri. Patutlah perpustakaan ini digelar “the second home”.

            Ketiga, perpustakaan ini menyediakan rak-rak buku yang sangat unik dan menarik. Reka bentuk perabot dan rak di dalam perpustakaan itu amat sesuai mengikut bahagian-bahagiannya seperti kanak-kanak, pelajar dan orang awam. Keempat, perpustakaan ini sangat unik kerana dialah satu-satunya perpustakaan yang boleh berbuat bising bagi kawasan kanak-kanak. Hal ini kerana pihak perpustakaan mahu kanak-kanak terbabit melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan pengetahuan mereka. Jadi, kanak-kanak tidaklah hanya tertumpu pada aktiviti membaca sahaja.

            Seterusnya, perpustakaan ini menyediakan banyak kemudahan lain yang mungkin tiada di tempat lain antaranya gimnasium, teater 6D, auditorium dan banyak lagi. Jika anda lihat pada perpustakaan ini, anda pasti tidak akan menyesal untuk datang lagi. Kemudahan elektronik dan ICT memang tahap kelas pertama bagi saya.

            Jadi, saya mencadangkan agar anda datang dan lihat sendiri perpustakaan ini. Komen saya, syabas negeri Selangor kerana dapat membina sebuah perpustakaan yang hebat sebegini. Pada pandangan saya, perpustakaan ini memang bertaraf antarabangsa dan setanding dengan perpustakaan di Eropah.

Jika dilihat pada perpustakaan ini, mesti ada tidak percaya bahawa kosnya tidak melebih RM100 juta. Dengan amalan telus dan bebas rasuah menjadikan perpustakaan hebat dapat dibina dengan kos yang munasabah. Harapan saya agar negeri lain dapat membina perpustakaan yang sama di tempat mereka..Salam












“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: Laman Web Rasmi PPAS]

Lebih 20,000 hadirin di Majlis Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor


Lebih 20,000 hadirin membanjiri majlis sambutan Aidilfitri kerajaan negeri Selangor di Dataran Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah disini semalam rata-rata rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir dengan gembira serta tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra bersama dengan pimpinan negeri Selangor termasuk menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Majlis turut dihadiri dengan kehadiran pelbagai pimpinan kanan Pakatan Rakyat.Ketua Umum PKR dan juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Dato’Sri Anwar Ibrahim turut hadir memeriahkan majlis dan bertemu dengan rakyat. Antara pemimpin lain yang hadir ialah Naib Presiden PKR, Tian Chua, Naib Presiden PAS, Dato; Husam Musa, exco-ecxo negeri Selangor serta tidak ketinggalan wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat. Keluarga yang hadir turut mendapat sumbangan duit raya dan bantuan-bantuan oleh kerajaan negeri.

Dalam sidang media majlis tersebut, Khalid mengatakan program itu ditaja oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sebagai sumbangan sosial selepas mencatatkan keuntungan yang menggalakan tahun ini.Khalid turut menyatakan Bangunan SAAS dipilih kerana kawasan luas memudahkan hadirin dan tidak perlu bersesak seperti sebelumnya.


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]