Saturday 24 September 2011

Penerbangan pertama ke Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah

            
            Salam..Diam tak diam, bulan Syawal bakal meninggalkan kita. Kini, bulan Zulkaedah bakal menjelang tiba dan seterusnya bulan Zulhijjah. Kurang dari 2 bulan lagi, kita bakal menyambut satu lagi hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Aidiladha. Oleh itu, sudah tentulah bakal jemaah haji kini sudah bersiap sedia untuk berangkat ke bumi para anbiya’ ini. Ikuti liputan TV Selangor berkaitan perjalanan jemaah haji pada tahun ini:

Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji, Dato’ Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke tanah suci untuk menunaikan rukun Islam kelima bagi tahun ini ialah pada 29 September ini. Syed Saleh berkata 450 jemaah haji itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan sewa khas haji iaitu pesawat Malaysia Airlines (MAS), Saudi Airlines pada hari berkenaan iaitu pada waktu pagi dan tengah hari.

Mereka adalah sebahagian daripada 28000 jemaah Malaysia yang dibenarkan mengikut kuota yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi pada musim haji tahun ini. Menurut Syed Saleh, jemaah haji Malaysia ketika ini sedang mengikuti peringkat akhir kursus haji iaitu kursus perdana di peringkat negeri selepas menghadiri kursus asas dan kurusu intensif.

Syed Saleh berkata seramai 800 petugas Tabung Haji akan bertugas kali ini untuk menjaga kebajikan para jemaah dan mereka akan berangkat ke sana secara berperingkat bermula Rabu depan. Katanya lagi penerbangan jemaah haji balik ke Malaysia dijadualkan bermula pada 12 November dan dijangka berakhir pada 11 Disember.

Saya mengucapkan selamat berangkat kepada semua jemaah haji yang bakal menunaikan fardhu haji pada tahun ini. Semoga mendapat haji yang mabrur. Salam


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

No comments:

Post a Comment