Saturday 24 September 2011

Kerajaan Negeri Selangor ambil alih Alam Flora Sdn. Bhd.


 Keputusan Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih tugas pembersihan Alam Flora Sdn. Bhd. mampu menjimatkan perbelanjaan kewangan kerajaan negeri sehingga RM20 juta setahun dalam sektor itu. Usaha ini sekali gus memberi sepenuhnya kuasa kepada kerajaan negeri untuk memastikan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bercakap pada sidang media petang tadi, Khalid berkata kerajaan Selangor sebelum ini perlu membayar cas pengurusan sebanyak 10%  kepada Alam Flora. Oleh yang demikian, Khalid menganggarkan kurang daripada RM200 juta akan digunakan bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan tersebut berbanding RM400 juta sebelum ini.

5 pihak berkuasa tempatan (PBT) dipertanggungjawabkan untuk memastikan kerja-kerja pemotongan rumput dan pembersihan longkang dikawasan kediaman sekitar Selangor akan dikendalikan dengan lebih baik. Katanya kerja-kerja pembersihan oleh Alam Flora sebelum ini mendapat reaksi negatif daripada penduduk setempat berikutan projek yang diperoleh dipajakkan kepada pihak yang ketiga.

PBT yang dimaksudkan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Maljis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK). Manakala kelima-lima PBT tersebut akan membantu Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang mempunyai sumber kewangan terhad.

Sementara itu Khalid berkata walaupun PBT yang ditugaskan tidak mempunyai kelengkapan secukupnya pada peringkat awalm namun kerajaan negeri telah mengarahkan penubuhan task force meningkatkan keberkesanan pengurusan tersebut. Walaubagaimanapun, Khalid menjelaskan Alam Flora tetap akan mengendalikan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal di negeri Selangor selain ianya tidak bercanggah dengan perjanjian kontrak bersama Alam Flora.


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

No comments:

Post a Comment