Tuesday 27 September 2011

Negeri lain disaran mencontohi kemajuan Selangor – Yang di-Pertuan Agong

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah kesejahteraan yang dikecapi negara ini akan berterusan jika pembangunan fizikal sentiasa diseimbangkan dengan pembangunan rohani. Titah baginda walaupun pembangunan fizikal penting memandangkan ia satu keperluan untuk pencapaian ekonomi yang lebih baik, namun pembangunan rohani yang menzahirkan rakyat yang tahan uji, berdisiplin dan bermoral adalah juga sama penting.

Titah baginda pada majlis santapan diraja di Istana Shah Alam malam tadi, sempena lawatan rasmi 3 hari baginda ke Selangor bermula hari rabu. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Turut hadir Perdana Menteri, Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin serta Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim.

Baginda bertitah bagi menjamin Malaysia dapat meneruskan agenda pembangunannya, rakyat perlu menjana perpaduan, keharmonian dan kestabilan ke tahap lebih baik. Yang di-Pertua Agong bertitah pembangunan pesat di Selangor adalah hasil pembangunan yang dirancang dengan teliti dan teratur oleh pihak kerajaan. Pengalaman kerajaan Selangor yang antara lain mengatasi kemiskinan di negeri itu, pembangunan dan kemajuan yang dinikmati Selangor harus diteladani negeri lain bagi mencapai kejayaan pesat, titah baginda



“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

No comments:

Post a Comment