Tuesday 27 September 2011

Bukit Melawati...kota bersejarah



            Salam..hari ini saya ingin berkongsi cerita sedikit mengenai Bukit Melawati. Bukit Melawati ini terletak betul-betul di tengah Bandar Kuala Selangor. Bukit ini merupakan kubu pada zaman penjajah. Sebelum itu, saya akan cerita sedikit tentang sejarah Bandar Kuala Selangor.

            Mengikut sejarah negeri Selangor, Kuala Selangor ini telah dibuka sekitar abad ke-16. Kota ini pernah dikuasai oleh Empayar Melaka dan kemudiannya Empayar Johor. Pada hujung abad ke-17, Bugis menguasai kota ini. Pada sekitar tahun 1757, pembesar-pembesar dan penduduk-penduduk kota ini bersama-sama kota Klang bersatu membentuk sebuah kerajaan Selangor. Raja Lumu iaitu putera Raja Bugis telah ditabalkan sebagai pemerintah negeri Selangor.

            Selepas tahun 1757, pusat pemerintahan kerajaan Selangor telah berpindah daripada Kuala Selangor ke Jugra dan akhirnya ke Klang. Kuala Selangor menyaksikan pelbagai kisah sejarah khususnya apabila zaman penjajahan Belanda dan British. Jadi, Bukit Melawati merupakan satu kawasan yang sangat strategik bagi tujuan pertahanan di kota tersebut.



            Kini, apabila anda ke bukit ini, anda akan melihat kesan-kesan peninggalan kota dan kubu pada zaman penjajah. Apa yang menariknya, anda akan melihat sebuah batu yang dipercayai menjadi tempat memancung kepala pesalah pada zaman pendudukan Jepun di Malaysia. Bukit ini juga menpunyai sebuah rumah api yang sangat menarik. Ini kerana bukit ini betul-betul berada di sebelah Sungai Selangor yang menjadi nadi bagi kota ini.

            Apabila anda ke bukit ini, ada akan dapat melihat Bandar Kuala Selangor dari arah atas bukit. Anda boleh menyaksikan panorama yang indah disekeliling bandar ini. Tidak jauh dari bukit ini terdapat taman yang menempatkan pelbagai flora dan fauna. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang bukit ini, saya sarankan anda melancong sendiri ke Bukit Melawati. Salam

“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: Virtual Malaysia.com]

No comments:

Post a Comment