Saturday 24 September 2011

Freedom Film Fest (FFF) 2011

Penganjuran Freedom Film Fest (FFF) bukan sekadar menghiburkan tetapi juga menjadi satu medium kreatif yang mampu menyebarkan mesej merangkumi isu-isu semasa seperti hak asasi manusia, demokrasi dan kemasyarakatan. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail berkata penganjuran program sebegini selari dengan usaha kerajaan negeri untuk merakyatkan budaya. Lebih daripada itu, program sebegini juga akan menyuburkan prinsip kebebasan maklumat yang merupakan elemen penting dalam sistem demokrasi.

Rodziah berkata demikian ketika sidang media penganjuran Freedom Film Fest 2011 (FFF) yang dijadual berlangsung pada 1 dan 2 Oktober ini bertempat di Auditorium Wisma Bently Mutiara Damansara. FFF 2011 akan menayangkan 20 filem tempatan dan antarabangsa yang bertemakan hak kanak-kanak, politik identiti, alam sekitar dan aktivism, wanita dan agama, piliharanraya dan demokrasi, hak seksualiti, kebangkitan rakyat serta hubungan antara agama.

FFF juga akan diadakan di beberapa lokasi yang lain sepeti Pulau Pinang, Perak, Johor dan Sarawak sepanjang bulan Oktober. Kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan menjalinkan kerjasama dengan pusat komuniti masyarakat (KOMAS) dalam menjayakan program ini setiap tahun sejak 7 tahun lalu.

Tarikan utama FFF tahun ini adalah tayangan perdana 3 buah dokumentari yang memberi tumpuan kepada hak asasi manusia antaranya Huruf J hasil karya Afiq Din yang menceritakan cabaran yang dihadapi oleh janda di Malaysia. Sementara itu, seorang wartawan media cetak tempatan, Liaw Pay Wen akan menyajikan filem pertamanya yang bertajuk Laut Ummah Am yang mendalami kehidupan nelayan Orang Asli Seletar, Orang Laut disekitar Selat Johor serta dokumentari berjudul Senyap, Tersentak yang diterbitkan pusat KOMAS mengenai 8 tuntutan BERSIH 2

Ketiga-tiga dokumentari itu berebut untuk merangkul anugerah Filem Hak Asasi Manusia terbaik FFF 2011 semasa upacara anugerah di Petaling Jaya pada 1 Oktober ini. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi FFF di freedomfilmfest.komas.org untuk maklumat lengkap mengenai jadual tayangan dan sinopsis. Maklumat juga boleh didapati melalui laman sosial seperti facebook dan twitter untuk mendapatkan maklumat terkini.



“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

No comments:

Post a Comment