Saturday 1 October 2011

MB Selangor lancar program Selangorku di daerah Sabak Bernam



            Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan Program Selangorku merupakan satu usaha pemangkin dalam memastikan hala tuju negeri mencapai ke tahap yang membanggakan dan setiap kemajuan dapat dinikmati dan dikongsi bersama secara keseluruhan. Jelasnya, segala tindakan dan bentuk perancangan yang ingin dilakukan oleh Kerajaan Negeri mengambil kira kepentingan rakyat berdasarkan prinsip hasil negeri untuk rakyat.

            Abdul Khalid berkata demikian pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pemimpin Bersama Rakyat di daerah Sabak Bernam semalam dan pelancaran logo Selangorku yang berlangsung di Dataran Tunggak 10 Sabak Bernam. Selangorku merupakan program hasil kesinambungan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang sebelum ini diperkenalkan oleh Pakatan Rakyat sejak mentadbir Selangor pada 2008.

            Slogan Selangorku ini mengambil kira hasil perbincangan dan dialog bersama beberapa agensi kerajaan serta penyertaan rakyat Selangor sendiri dan hasilnya logo Selangorku dilancarkan kepada rakyat oleh Menteri Besar pada 24 Julai 2011 di Stadium Melawati Shah Alam. Ujar beliau lagi, logo Selangorku ingin dijadikan sebagai satu lambang penyatuan dan kesepaduan antara rakyat dengan Kerajaan Negeri dalam usaha melestarikan pembangunan negeri demi kemajuan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

            Jelasnya lagi, rakyat di negeri ini juga mempunyai kebebasan untuk mengkritik dan memberikan pandangan kepada kerajaan negeri dan perkara ini merupakan antara ciri-ciri yang terdapat di dalam Selangorku. Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) daerah Sabak Bernam merupakan lawatan kerja sehari Menteri Besar dan pimpinan Kerajaan Negeri ke daerah ini yang turut diisi dengan pelbagai program bersama kaki tangan awam dan rakyat.

            Lebih 10000 rakyat hadir memeriahkan majlis Aidilfitri ini walaupun berlangsung dalam suasana hujan renyai, namun peluang ini tidak dilepaskan masyarakat setempat untuk melihat dengan lebih dekat dan bergambar bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.
           

“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

No comments:

Post a Comment