Friday 7 October 2011

Seminar Usahawan Bumiputera 2011

            Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan pembangunan usahawan merupkan perkara yang perlu diberikan perhatian dalam usaha merperhebatkan taraf ekonomi negeri Selangor. Khalid berkata kejayaan seseorang usahawan bermula dengan sikap kepercayaan kepada diri sendiri dengan membaiki segala kelemahan dalam memastikan kejayaan yang diraih pada masa hadapan.

            Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pembangunan Usahawan Bumiputera 2011 anjuran Selangor State Investment Centre (SSIC) Berhad dengan kerjasama akhbar Sinar Harian bertempat di ITC Shah Alam. Mengulas lanjut Khalid beranggapan menceburi bidang keusahawanan adalah sesuatu yang mencabar kerana ia berhadapan dengan kegagalan yang merupakan asam garam dunia perniagaan.

            Beliau menambah usahawan perlu mencari inisiatif sendiri dalam menyelesaikan pelbagai masalah selain meningkatan kecekapan dalam aspek pengurusan dalam membangunkan perniagaan yang dirancangkan. Seminar ini bertujuan memotivasikan anak-anak muda bagi mencontohi ketekunan dan kreativiti para usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya. Para perserta juga berpeluang berinteraksi terus dengan penceramah dan panelis sepanjang seminar berlangsung.

            Setiap slot penceramah adalah berdasarkan pengalaman dan kejayaan mereka dalam bidang masing-masing di dalam membangunkan perniagaan disamping memberikan suntikan semangat kepada bakal usahawan dalam mencipta peluang perniagaan baru melalui usaha dan ketekunan yang cemerlang.

            Antara usahawan bumiputera yang terkenal dan tersohor yang telah dijemput sebagai pencaramah ialah Pengerusi Eksekutif DCL Group of Companies, Dato’ Stapa Omar, Penerbit dan CEO Kumpulan Media Karang Kraf, Dato Hishamuddin Yaakop, Pengarah DPZ Pasific Kuala Lumpur, Dato’ Kamal Zaharin, Ketua Eksekutif 1901 Sdn. Bhd, Tengku Rozida Tengku Zainol Abidin, agen hartanah wanita, Junaidah Tarjo serta pengasas dan usahawan komestik Syarikat Leesa Formula Sdn. Bhd, Che Mona Din.

            Sasaran peserta seminar terdiri daripada bakal-bakal usahawan, para pelajar IPT dan mereka yang menceburi bidang keusahawanan. Sekurang-kurangnya seramai 400 orang peserta telah berdaftar untuk menyertai seminar ini dengan bayaran sebanyak RM100 bagi individu dan RM20 bagi pelajar IPT. Peserta yang hadir juga bakal menerima sijil penyertaan dari Kerajaan Negeri Selangor.



“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

No comments:

Post a Comment