Friday 7 October 2011

Program Jom Shopping DUN Sungai Pinang


             Program Jom Shopping bersama ADUN yang diperkenalkan Kerajaan Selangor pada 15 Julai lalu bagi meraikan sumbangan warga emas kepada negeri itu diteruskan dengan kali ini memperlihatkan pemberian baucer sejumlah RM100 kepada 100 warga emas yang berdaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Program yang berlangsung di pasaraya TESCO Setia Alam itu memberi peluang kepada warga emas untuk berbelanja tanpa sekatan sambil beramah mesra bersama pemimpin.

            Program anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang yang bermula pada pukul 11 pagi itu disertai Speaker DUN Selangor yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Dato’ Teng Chang Khim. Menurut Teng Program Jom Shopping kendalian DUN Sungai Pinang adalah program kali kedua yang dianjurkan di kawasan itu dalam tempoh sebulan dan menerima sambutan yang menggalakkan daripada warga emas berbilang kaum. Teng berkata Jom Shopping menjadi program paling popular di kalangan warga emas sehingga kini dan beliau berharap supaya ia diteruskan walaupun peruntukan bagi pelaksanaan program ini adalah terhad.

            Jelas Teng Program Jom Shopping Sungai Pinang yang diadakan buat pertama kali pada bulan lalu memberi tumpuan khusus kepada warga emas berbangsa Melayu sempena sambutan Aidilfitri. Manakala pemberian baucer kali kedua ini lebih tertumpu kepada warga emas berbangsa Cina memandangkan bilangan mereka yang berdaftar di bawah SMUE adalah besar di kawasan itu.

            Program Jom Shopping merupakan sebahagian daripada program untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas yang telah berdaftar dengan SMUE melalui Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 2008. Sebanyak RM10 juta telah diperuntukan untuk program ini pada 100,000 warga emas melalui keuntungan perlombongan pasir disalurkan anak syarikat Menteri Besar Incooperated (MBI), Kumpulan Semester Sdn. Bhd. (KSSB).

            Tujuan program ini bukan sahaja untuk memastikan golongabn warga emas boleh berbelanja melalui pemberian baucer sebanyak RM100, tetapi turut memberi peluang kepada meraka untuk bersosial bersama kepimpinan kawasan terpilih.   
           

“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]



No comments:

Post a Comment