Wednesday 16 November 2011

Rumah Mampu Milik di Kg. Seri Temenggong


 Kerajaan Negeri Selangor telah mencapai persetujuan dengan penduduk peneroka bandar setinggan Kg. Seri Temenggong, Gombak untuk membina rumah mampu milik di kawasan itu menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Iskandar ditemui dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata kerajaan negeri mengkhususkan untuk membina sejumlah 450 unit rumah mampu milik bagi menggantikan kediaman setinggan 29 buah keluarga yang menetap disitu.

            Menurutnya rumah mampu milik yang akan dibina dikawasan lapang itu nanti berharga antara RM90,000 hingga RM120,000 dengan keluasan antara 850 dan 1000 kaki persegi. Iskandar yang juga ADUN Chempaka berkata pembinaan rumah mampu milik ini adalah bukti kejayaan kerajaan negeri kerana 29 keluarga penduduk itu tidak dapat dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu.

            Bagaimanapun kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat berjaya menawarkan rumah mampu milik dengan tawaran potongan harga. Tambah Iskandar, rumah mampu milik di kampung berkenaan adalah sebahagian daripada 2000 unit rumah jenis itu yang akan dilancarkan selewat-lewatnya Mac 2012. Pada masa ini, kerajaan negeri telah memulakan pembinaan 124 unit rumah berkenaan di Bangi.

            Kerajaan Selangor bersama PKNS mengambil inisiatif positif dengan mengenalpasti beberapa lokasi lain di negeri ini bagi membina rumah mampu milik antaranya Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, Antara Gapi dan Bernam Jaya di Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Taman Sains 2 di Sepang.

            Komen saya, ini salah satu lagi cara yang baik untuk memastikan setiap rakyat mendapat tempat tinggal yang selesa dan sempurna. Kerajaan memang wajib memberikan khidmat ini kerana ia merupakan satu kewajipan dan tanggungjawab sesebuah kerajaan kepada rakyatnya yang penat bekerja dan membayar cukai.


“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

No comments:

Post a Comment