Saturday, 13 August 2011

S.P.I.E.S Vs BTN

              
              Biro Tatanegara ataupun BTN sememangnya telah menjadi satu yang sebati dengan rakyat Malaysia khususnya pelajar dan penjawat awam. Pada awalnya, BTN ini memang sebuah medan yang baik bagi melahirkan modal insan yang lebih berkualiti. Modul yang diterapkan juga menepati masalah yang dihadapi oleh golongan sasaran kursus ini.

            BTN pada mulanya bertujuan untuk melahirkan semangat cinta akan negara. Semangat patriotisma yang diterapkan dalam kursus ini memang sedikit sebanyak memberi kesan kepada semua peserta kursus. Pada tahun 90an dulu, modul yang berbentuk spiritual diperkuat bagi melengkapkan modul di dalam kursus ini.

            Malangnya, sejak muktahir ini ada beberapa pihak cuba untuk memanipulasi kursus BTN ini. Kursus ini dijadikan sasaran kerana ia merupakan satu wadah yang wajib ditempuh oleh pelajar dan pekerja bagi melanjutkan pelajaran ataupun kenaikan pangkat di dalam organisasi. Kursus yang pada awalnya berniat baik, kini berubah sedikit demi menjaga kepentingan pihak tertentu. Semangat perkauman yang agak ekstrim dan melampau telah cuba dimasukkan ke dalam modul tersebut. Bagi saya, ia merupakan perkembangan yang tidak sihat kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum.

            Jadi, Kerajaan Selangor telah mengambil langkah proaktif bagi mewujudkan sendiri kursus seumpama itu di negeri Selangor. Kursus S.P.I.E.S (Spiritual, Physical, Intellectual, Emotional and Sosial) telah pun dilancarkan oleh exco pendidikan, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan iaitu YB Dr. Halimah Ali.

            Bagi beliau, kursus kerajaan negeri Selangor ini dilihat lebih baik dan menyeluruh bersesuaian dengan rakyatnya. Sehubungan dengan penubuhan kursus S.P.I.E.S ini, kerajaan Selangor telah pun mengeluarkan larangan kepada seluruh kakitangan awam Selangor untuk menyertai program BTN anjuran kerajaan pusat itu.


            Bagi mendapatkan penerangan lebih lanjut, saya telah selitkan sebuah video yang memaparkan wawancara berkenaan kursus baru ini bersama YB Dr. Halimah Ali. Video adalah hasil usaha sebuah kumpulan yang bergelar Klik4Malaysia dalam mendapatkan penerangan terperinci daripada exco Selangor terbabit.

            Anda juga turut berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kursus ini. Jadi, saya mencadangkan agar anda melawat portal rasmi kursus ini seperti tertera di bawah:



“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: Klik4Malaysia]

Nasib orang asal di Selangor terus terbela

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta jawatankuasa Jabatan Kemajuan Orang Asli Selangor (JHEOA) untuk mengemukakan pelan rancangan penempatan semula Orang Asal di sekitar negeri itu bagi memastikan mereka terus dibela.Ini berikutan kata Khalid, beliau tidak mahu masyarakat Orang Asal itu dipinggirkan dari sudut sosio ekonomi dan kehidupan sementara kerajaan Selangor merancang pembangunan yang lebih pesat dalam jangka masa tertentu.

Justeru Khalid berkata kerajaan Selangor akan secara berterusan mencari jalan untuk menyelesaikan tanah penempatan orang asal supaya mereka dapat terus menetap di negeri itu.
“Saya telah meminta satu jawatankuasa orang asal untuk membuat rancangan bagi mengemukakan cara penempatan boleh dilakukan. Ini bertujuan agar kerajaan dapat menentukan setiap penduduk di Selangor mempunyai keupayaan dan mampu membangunkan keluarga secara berterusan,” katanya.

Khalid sebelum itu menyampaikan cek bernilai RM480 ribu kepada lapan wakil Orang Asal pada Majlis Penyerahan Cek syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.Pampasan tersebut diberikan lanjutan daripada tuntutan kawasan bertindih oleh penduduk Orang Asal dengan tanah milik PNSB di Kuala Langat.

Menteri Besar Selangor itu menjelaskan bahawa tujuan asal tanah tersebut diambil untuk melaksanakan projek tambakan banjir Sungai Langat – Sungai Klang.
Namun jelas Khalid memandangkan kos pembinaan terusan itu sangat tinggi, maka kerajaan Selangor berpendirian untuk menggantikan projek tersebut dengan kolam takungan air yang lebih efektif dan menjimatkan.

Seterusnya Khalid mencadangkan agar wang pampasan yang diterima agar dilaburkan menerusi Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang menjanjikan pulangan lebih baik.
Selain itu beliau menyarankan agar JHEOA membantu Orang Asal untuk menguruskan penanaman kelapa sawit dan getah agar sumber pendapatan berterusan dapat dinikmati keterunan itu.

“Saya berharap JHEOA dapat menolong mereka cara untuk menggunakan wang tersebut cara terbaik supaya penanaman kepala sawit dan getah di jaga dengan baik supaya hasil yang berterusan,” kata Khalid lagi.

Sementara itu Orang Asal yang ditemui media mengucapkan terima kasih kepada PNSB dan kerajaan negeri Selangor kerana mengambil berat kebajikan mereka.“Saya mengucapkan terima kasih kepada MB negeri Selangor, PNSB dan Jabatan Orang Asal Shah Alam.“Masing-masing semua ada akaun, jadi saya untuk disimpan, jadi saya akan bermesyuarat dan berbincang di kampung,” kata Kartun Anak Kecil yang juga Setiausaha JKKK Kampung Orang Asal Bukit Kecil.


Komen saya, kita hendaklah mengambil berat terhadap kebajikan rakyat tak kira latar belakang. Orang asal juga turut menyumbang terhadap pembangunan negeri dengan cara mereka sendiri dan kita mestilah menjaga hak-hak mereka. Jangan sesekali kita mengambil kesempatan terhadap kelemahan mereka. Salam....

“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor dan Selangorkini Online]

Kerajaan negeri mahu hapus golongan penghisap keuntungan

Salam...kali ni saya nak kongsi berita mengenai keuntungan kontraktor di Selangor. Mari ikuti laporan TV Selangor berikut:

Bagi menghapuskan golongan penghisap keuntungan atas angin, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan kerajaan negeri akan mengurangkan margin keuntungan kontraktor daripada 30% kepada 7% sahaja bagi projek-projek infrastruktur kerajaan negeri.

            Beliau berkata memandangkan terdapat peningkatan kecekapan kerajaan negeri dalam menguruskan pembayaran kepada kontraktor, maka tidak perlulah margin pembayaran ditetapkan pada kadar 30% seperti sebelum ini dan cukup sekadar 7% sahaja. Beliau menambah kadar 30% sebelum ini ditetapkan apabila kontraktor berdepan dengan risiko lewat menerima pembayaran daripada kerajaan 20 tahun lalu.

            Khalid berkata margin keuntungan yang besar akan membolehkan kontraktor untuk subkontrak kerja mereka dan masih boleh mengaut 15% keuntungan tanpa berbuat apa-apa. Beliau berkata demikian pada sesi dialog bajet 2012 pagi tadi. Buat masa ini, Khalid berkata beliau sedang berunding dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai perkara ini dan berharap dapat menjadikannya satu dasar.

            Katanya, Pakatan Rakyat mahu menghapuskan golongan penghisap keuntungan atas angin yang menimbulkan masalah sosial dan politik kerana menurutnya amalan tersebut telah bertukar menjadi kepakaran korporat untuk parti-parti politik tertentu seperti MCA.

            Komen saya, memang bagus kalau niatnya untuk menghapuskan golongan penghisap keuntungan ni. Memang inilah punca utama kenapa kerajaan terpaksa berbelanja lebih untuk membuat sesuatu projek. Golongan ini amat bahaya kerana ia bukan sahaja mengambil duit rakyat secara haram, malahan rakyat juga boleh terkena tempias hasil daripada kerja jijik golongan ini.

Contohnya, kontraktor dapat untung 30%, selepas itu dia subkontrak kepada kontraktor lain. Jadi, kontraktor yang kedua hanya dapat 15%. Untuk memastikan kontraktor kedua ini dapat untung yang lebih, dia akan membeli bahan binaan yang murah dan tidak berkualiti. Hasilnya, jambatan retak, stadium runtuh dan sebagainya. Akhirnya, rakyat yang jadi mangsa. Bukan sahaja duit terbang, nyawa juga boleh melayang....Salam



“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: TV Selangor]

SnoWalk....

       
            SnoWalk ialah satu produk pelancongan di negeri Selangor.  Namanya sudah cukup menggambarkan keadaan tempatnya. Kalau sebelum ni kita megah dengan tempat-tempat sejuk beku seperti di Snow World, Genting Highland. Kini, Selangor tidak ketinggalan mewujudkan tempat yang sama malahan lebih hebat dan besar.

            SnoWalk yang terletak di dalam bandar i-city, Shah Alam, menjadi satu lagi tarikan pelancong dalam dan luar negara. Laluan sejuk beku yang berkeluasan hampir 5000 kaki persegi ini pasti menjanjikan keserokan dan kepuasan kepada setiap pengunjung.

Rumah ais di SnoWalk

            Mana tidaknya, apabila anda berada di dalamnya, anda akan dapat merasai kesejukan udara sehingga ke tahap 5ÂșC di bawah paras beku. i-city ini bukan susah untuk dicari kerana kedudukannya yang begitu strategik. Anda tidak perlu susah-susah mencarinya kerana ia terletak betul-betul bersebelahan dengan Lebuhraya Persekutuan. Anda memang pasti akan terlihat tempat ini daripada lebuhraya tersebut.

            Lebih terperinci lagi, SnoWalk ini terletak di Seksyen 7, Shah Alam. Tempat ini dibuka dari jam 10.00pagi sehingga jam 1.00pagi bagi hari bekerja. Pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, ianya dibuka dari jam 10.00pagi sehingga 2.00pagi. Anda tidak perlu risau tentang baju sejuk kerana ia telah disediakan disana. Anda cuma perlu membawa sarung tangan dan memakai kasut demi keselesaan anda. Anda juga boleh membawa baju sejuk sendiri.

Salah satu laluan di SnoWalk

            Saya tahu, anda mesti tertanya-tanya tentang harganya. Bagi saya, harga tidak menjadi masalah jika ia betul-betul memberikan kepuasan kepada saya. Tiket masuk ke SnoWalk ini ialah RM25 bagi dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak.

            Apa yang istimewanya SnoWalk ini jika nak dibandingkan dengan tempat yang lain di Malaysia. Pertama, anda pasti akan berasa seronok kerana anda akan disambut dengan hujan salji atau snow fall di pintu masuk SnoWalk ini. Salji yang dihasilkan lain dari yang lain kerana ia mempunyai kesamaan hampir 90% dengan salji yang asli. Strukturnya yang ringan, lembut dan halus menjadikan ia sangat istimewa. Mana tidaknya, mesin salji tersebut diimport khas daripada negara Korea iaitu syarikat BarsKorea. Akan tetapi, snow fall ini hanya beroperasi pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Pengukir dari China sedang menyiapkan ukiran bongkah ais di SnoWalk

            Kedua, SnoWalk yang berharga hampir RM10 juta ini mempunyai bongkah-bongkah ais yang diukir menarik. Uniknya, ais ini telah diukir oleh pengukir-pengukir pakar daripada negara China. Mereka terpaksa berkampung hampir 2 bulan bagi menyiapkan semua ukiran bongkah ais di dalam SnoWalk tersebut. Apabila anda masuk ke sana, anda akan melihat pelbagai binaan ais antaranya igloo.

Waktu hujan salji atau snow fall beroperasi

            Jadi, jomlah melancong ke SnoWalk jika anda mahu merasai kedinginan salji bersama kawan-kawan dan kaum keluarga. Selamat melancong....Salam

“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: Selangorkini Online]

i-city...bandar masa hadapan


          
              i-city ini sebenarnya masih baru di negeri Selangor, tetapi namanya sudah tersebar luas ke seluruh Selangor malahan juga Malaysia. Apa tidaknya, tempat seumpama ini hanya satu sahaja di Malaysia. Secara jujur saya katakan, jika anda pergi ke i-city pada waktu siang, mungkin ada tidak akan nampak apa-apa keistimewaan tempat ini. Tiada siapa pun yang mahu singgah pada waktu-waktu tersebut.

            Akan tetapi, cuba anda pergi ke i-city pada waktu malam. Mesti anda akan tertarik dan singgah ke tempat ni. i-city yang yang pada waktu siang seolah-seolah bandar biasa, tetapi pada waktu malam ianya menjadi satu-satunya bandar yang paling berwarni-warni di Malaysia ini. Sesuai dengan trademark bandar ini iaitu “tumpuan cahaya dan salji”, tempat ini dihiasi dengan beribu-ribu cahaya lampu neon dan lain-lain lagi. 



            Tetapi kenapa ada perkataan salji pada trademark tersebut. Sebenarnya, di dalam i-city terdapat satu tempat yang dipanggil SnoWalk. SnoWalk merupakan laluan yang diliputi sajli seperti berada di negara-negara 4 musim. Saya akan menerangkan SnoWalk ini dengan lebih lanjut pada post berikutnya.

Berbalik semula pada i-city tadi, ada pasti terkejut jika melihat suasana yang sesak pada waktu malam di bandar baru ini. Walaupun sudah 1 tahun saya tidak menjenguk tempat ini, saya rasa mesti lebih ramai pengunjung yang melawat ke tempat ini sekarang. i-city memang sangat sesuai dijadikan tempat riadah untuk rakyat yang sudah berkeluarga bagi mencari ketenangan setelah penat bekerja.



Jadi, datanglah beramai-ramai ke i-city bagi merasai sendiri keindahan bandar ini pada waktu malam....Sebelum itu lihatlah video promosi singkat daripada i-city yang sempat saya upload untuk anda semua...Selamat melancong...Salam



“Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan”.....


[Sumber: Portal rasmi i-city]

Thursday, 11 August 2011

Selangorku...


      Salam... Logo ‘Selangorku’ yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah  wadah pengukuhan jalinan kerjasama antara barisan kepimpinan kerajaan negeri dengan rakyat Selangor dalam usaha memastikan setiap pembangunan  dinikmati oleh akar umbi negeri ini.Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ‘Selangorku, Negaraku’ adalah tapak baru dalam meneruskan kesinambungan pemerintahan yang adil dan telus sesuai dengan  amanah yang diberikan oleh rakyat.


Penubuhan ‘Selangorku’ merupakan idea hasil perbincangan semua pihak termasuk kakitangan awam kerajaan negeri sebagai lambang penyatuan bersama dan keakraban antara rakyat dengan pihak pentadbiran negeri dalam usaha melestarikan pembangunan negeri ini.

“Sekarang telah muncul idea tentang cara bagaimana menunjukkan kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor memberi pelbagai bantuan kepada rakyat dan untuk menunjukkan cara sewajarnya rakyat berasa gembira mendapat hak mereka secara saksama dan adil daripada Kerajaan Selangor.

“Sebagai lambang kerjasama rakyat dengan kerajaan negeri dalam usaha menjayakan pelbagai program MES yang dilancarkan pada Jun 2008 iaitu genap 100 hari Pakatan rakyat membentuk kerajaan negeri di Selangor,” katanya. Sebelum ini, Kerajaan Selangor memperkenalkan dasar ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor, Hasil Negeri Untuk Rakyat’ yang dilancarkan pada 21 Jun 2008, genap 100 hari Pakatan Rakyat memerintah Selangor. Dengan penduduk berjumlah 5.3 juta orang, Selangor adalah nadi ekonomi Malaysia dan menjadi paksi aktiviti politik, kebudayaan dan sosial negara ini.


Logo Selangorku yang dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Selangor

Logo Selangorku menggunakan warna kuning, merah dan putih yang menggambarkan cinta yang mendalam oleh rakyat dan pimpinan negeri  terhadap Selangor. “Kerajaan negeri ingin memberitahu rakyat, bahawa kita bersama-sama mereka dalam pembangunan Selangor. Sebab itu, tema itu dipilih. Tema yang diberikan adalah ringkas, hanya perkataan ‘Selangorku’ yang menonjolkan huruf ‘O’ dalam bentuk hati sebagai simbol dengan maksud Selangor sentiasa di hati rakyat,” katanya.

Abdul Khalid menegaskan rakyat Selangor berhak untuk meningkatkan kefahaman terhadap prinsip-prinsip demokrasi dalam menjalani kehidupan yang lebih bebas dan terbuka.

Justeru mereka diberi ruang memberikan pandangan dan kritikan membina terhadap pihak kerajaan dengan ciri berkenaan diterapkan dalam tema Selangorku. Abdul Khalid menambah, skim dan insentif yang diberikan kepada rakyat sebagai merealisasikan harapan dan dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor dengan mengembalikan limpahan hasil mahsul negeri kepada rakyat seperti yang dijanjikan ketika Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu.

“Bagi saya dan barisan exco, pimpinan negeri adalah sama taraf dengan rakyat jelata dari segi ruang dan peluang untuk meningkatkan pendapatan dan meningkatkan kualiti kehidupan di bumi Darul Ehsan ini. “Tidak ada lagi Meteri Besar dapat tanah. Tidak ada lagi Menteri Besar dapat projek. Ini sudah kita buktikan,” katanya. Majlis pelancaran logo Selangorku disempurnakan oleh Abdul Khalid dengan memecahkan bongkah ais yang mengandungi logo program sebagai simbolik pelancaran.



“Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan”.....
           
[Sumber: TV Selangor dan Selangorkini Online]

Lawatan kerja MB ke tapak perumahan Bukit Botak

Setelah majlis pecah tanah bagi projek perumahan Bukit Botak dilancarkan, kerajaan negeri Selangor tidak sesekali lepas tangan setelah itu. Buktinya, MB Selangor sekali lagi membuat lawatan kerja bagi melihat sendiri perjalanan dan pembinaan rumah di tapak projek tersebut. Hal ini penting bagi memastikan projek yang dilaksanakan anak syarikat kerajaan negeri itu iaitu PKNS berjalan mengikut jadual. Projek yang dijangka siap pada Jun 2012 itu kini telah pun bermula dan sekaligus membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam membantu rakyat di kawasan tersebut setelah dipinggirkan selama hampir 20 tahun. Ikuti laporan TV Selangor berikut:

Antara penduduk projek perumahan Bukit Botak 
Ketibaan YAB Menteri Besar Selangor disambut penduduk setempat.

Projek Bukit Botak yang menjadi pertikaian sejak pemerintahan UMNO Barisan Nasional kini berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian sewaktu meninjau perkembangan projek berkenaan semalam. Projek bermasalah sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional itu setelah diambil alih oleh Pakatan Rakyat kini sudah 31% siap.

Turut serta dalam lawatan itu semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Khusrin Munawir, exco perumahan, pengurusan bangunan dan setinggan, Iskandar Abdul Samad, Ahli Parlimen Gombak, Mohd Azmin Ali, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan ADUN Hulu Klang, Shaari Shuib. Projek penempatan semula Bukit Botak ini didirikan di atas tanah seluas 201 hektar dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2012 dengan 1422 unit rumah dibina dengan kontrak bernilai RM139 juta.

Ribuan penduduk yang hadir pada majlis tersebut jelas menunjukkan sokongan rakyat
kepada projek ini

Kejayaan menyelesaikan masalah yang dihadapi lebih 20 tahun oleh penduduk Bukit Botak itu adalah satu kejayaan besar kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Projek penempatan semula ini dikelaskan semula diatas Sesyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 Akta 88. Beliau yang melawat tapak projek itu semalam turut berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh pemaju setakat ini.

Ribuan penduduk turut hadir menyambut kehadiran menteri besar disamping melihat beberapa rumah contoh. Munurut Khalid, beliau akan membuat kunjungan sekali lagi dalam tempoh beberapa bulan lagi bagi melihat perkembangan projek berkenaan.

Tan Sri Abdul Khalid memotong reben sebagai simbolik perasmian rumah contoh
projek perumahan Bukit Botak

Sidang media selepas majlis perasmian

Menurut menteri besar, kunjungannya ke tapak projek semalam adalah untuk mengajak penduduk-penduduk Bukit Botak untuk turut serta bagi membuktikan apa yang dijanjikan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat menjadi satu kenyataan.

Pada pandangan saya, rumah merupakan salah satu perkara wajib yang mesti dijaga dan dititik berat oleh kerajaan. Saya cuma berkongsi berita ini bagi menyuruh kita berfikir kenapa projek yang tergendala dan terbengkalai sejak hampir 20 tahun duhulu, kini boleh diselesaikan dalam masa tidak sampai pun 3 tahun. Jadi, cubalah berfikir dengan matang dan bijak...Salam





“Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan”.....

[Sumber : TV Selangor]