Saturday 13 August 2011

SnoWalk....

       
            SnoWalk ialah satu produk pelancongan di negeri Selangor.  Namanya sudah cukup menggambarkan keadaan tempatnya. Kalau sebelum ni kita megah dengan tempat-tempat sejuk beku seperti di Snow World, Genting Highland. Kini, Selangor tidak ketinggalan mewujudkan tempat yang sama malahan lebih hebat dan besar.

            SnoWalk yang terletak di dalam bandar i-city, Shah Alam, menjadi satu lagi tarikan pelancong dalam dan luar negara. Laluan sejuk beku yang berkeluasan hampir 5000 kaki persegi ini pasti menjanjikan keserokan dan kepuasan kepada setiap pengunjung.

Rumah ais di SnoWalk

            Mana tidaknya, apabila anda berada di dalamnya, anda akan dapat merasai kesejukan udara sehingga ke tahap 5ºC di bawah paras beku. i-city ini bukan susah untuk dicari kerana kedudukannya yang begitu strategik. Anda tidak perlu susah-susah mencarinya kerana ia terletak betul-betul bersebelahan dengan Lebuhraya Persekutuan. Anda memang pasti akan terlihat tempat ini daripada lebuhraya tersebut.

            Lebih terperinci lagi, SnoWalk ini terletak di Seksyen 7, Shah Alam. Tempat ini dibuka dari jam 10.00pagi sehingga jam 1.00pagi bagi hari bekerja. Pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, ianya dibuka dari jam 10.00pagi sehingga 2.00pagi. Anda tidak perlu risau tentang baju sejuk kerana ia telah disediakan disana. Anda cuma perlu membawa sarung tangan dan memakai kasut demi keselesaan anda. Anda juga boleh membawa baju sejuk sendiri.

Salah satu laluan di SnoWalk

            Saya tahu, anda mesti tertanya-tanya tentang harganya. Bagi saya, harga tidak menjadi masalah jika ia betul-betul memberikan kepuasan kepada saya. Tiket masuk ke SnoWalk ini ialah RM25 bagi dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak.

            Apa yang istimewanya SnoWalk ini jika nak dibandingkan dengan tempat yang lain di Malaysia. Pertama, anda pasti akan berasa seronok kerana anda akan disambut dengan hujan salji atau snow fall di pintu masuk SnoWalk ini. Salji yang dihasilkan lain dari yang lain kerana ia mempunyai kesamaan hampir 90% dengan salji yang asli. Strukturnya yang ringan, lembut dan halus menjadikan ia sangat istimewa. Mana tidaknya, mesin salji tersebut diimport khas daripada negara Korea iaitu syarikat BarsKorea. Akan tetapi, snow fall ini hanya beroperasi pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Pengukir dari China sedang menyiapkan ukiran bongkah ais di SnoWalk

            Kedua, SnoWalk yang berharga hampir RM10 juta ini mempunyai bongkah-bongkah ais yang diukir menarik. Uniknya, ais ini telah diukir oleh pengukir-pengukir pakar daripada negara China. Mereka terpaksa berkampung hampir 2 bulan bagi menyiapkan semua ukiran bongkah ais di dalam SnoWalk tersebut. Apabila anda masuk ke sana, anda akan melihat pelbagai binaan ais antaranya igloo.

Waktu hujan salji atau snow fall beroperasi

            Jadi, jomlah melancong ke SnoWalk jika anda mahu merasai kedinginan salji bersama kawan-kawan dan kaum keluarga. Selamat melancong....Salam

“Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”

[Sumber: Selangorkini Online]

No comments:

Post a Comment