Tuesday 9 August 2011

Penduduk Kg. Kok Doh terima saguhati daripada Kerajaan Selangor

Salam....saya masih menceritakan lagi tentang projek perumahan Bukit Botak. Penduduk rumah setinggan di Kg. Kok Doh yang mana terletak betul-betul bersebelahan dengan Kg. Bukit Botak menerima saguhati dan tawaran daripada kerajaan Selangor atas kerjasama mereka dalam melicinkan projek perumahan Bukit Botak. Pada 18 Jun 2011, YAB Menteri Besar Selangor memberikan cek kepada penduduk Kg. Kok Doh. Ikuti liputan TV Selangor dibawah ini:

Ketibaan Menteri Besar Selangor di Kompleks Pegawai Daerah Gombak.

84 keluarga setinggan di Kg. Kok Doh di Bandar Baru Selayang hari ini menerima saguhati pemindahan dan bantuan perumahan daripada kerajaan negeri Selangor bagi membolehkan projek perumahan Bukit Botak dimulakan. Kg. Kok Doh merupakan sebuah perkampungan yang terletak bersebelahan Kg. Bukit Botak dan merupakan tanah milik anak syarikat kerajaan negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini turun padang menyerahkan saguhati berjumlah RM483,800 kepada keluarga yang terbabit dalam perpindahan itu. Meskipun komited dalam memastikan pembangunan di kawasan setinggan Bukit Botak yang menjadi penantian hampir 20 tahun penghuninya, namun kerajaan negeri tidak sesekali mengabaikan mereka yang turut terkena tempias akibat projek terbabit.

Ucapan daripada Pegawai Daerah Gombak, Ahmad Zaharin Mohd Saad

Ucapan daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor

Selain saguhati melibatkan bantuan pemindahan sebanyak RM500 seorang, mereka juga menerima tawaran dan bantuan pembelian rumah semi-D Bukit Botak atau rumah kos rendah mengikut kelayakan masing-masing. Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan cek saguhati kepada penduduk Kg. Kok Doh di Dewan Kompleks Pegawai Daerah Gombak di Selayang tengah hari tadi.

Antara penduduk Kg. Kok Doh yang hadir

Peneroka bandar yang menerima saguhati ini terbahagi kepada 3 kategori iaitu 63 keluarga layak membeli rumah semi-D Bukit Botak dengan harga RM99,000. Mereka juga telah diberi peruntukan tambahan RM3600 seorang sementara menunggu rumah siap dalam masa 12 bulan serta saguhati pemindahan RM500.

Manakala 20 keluarga lagi layak menerima rumah pangsa kos rendah atau RPKR di Selayang Mulia yang bernilai RM42,000 diberi subsidi RM7000 untuk pembelian rumah. Ini bermakna mereka hanya membayar RM35,000 untuk memiliki rumah RPKR. Selain itu, mereka menerima peruntukan tambahan bernilai RM1500 serta saguhati pemindahan RM500.

        Menteri Besar turut mengucapkan terima kasih kepada Kg. Kok Doh yang memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dalam pemindahan ini kerana ianya akan menjayakan projek perumahan Bukit Botak. Turut hadir pada majlis tersebut adalah exco perumahan, pengurusan bangunan dan setinggan, Iskandar Abdul Samad, Pagawai Daerah Gombak, Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau PKNS, Osman Omar.

Salah seorang penduduk Kg. Kok Doh menerima saguhati daripada Menteri Besar Selangor

Komen saya, untungnya rakyat Selangor dapat tawaran dan bantuan sebegini rupa. Mana nak dapat rumah semi-D yang harga kurang RM100,000 kat Malaysia ni. Bukan untuk mengampu atau membodek kerajaan negeri, tetapi saya rasa tindakan ini amat baik dan harus dijadikan contoh pada kerajaan-kerajaan negeri yang lain. Walaupun apa yang hendak dilaksanakan oleh sesebuah kerajaan,  masalah dan kebajikan rakyat mestilah diutamakan terlebih dahulu...Salam



“Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan”.....

[Sumber: TV Selangor]

No comments:

Post a Comment