Friday 5 August 2011

Mengenali MB Selangor yang baru....




Kalau pada tahun 1980an dahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ini terkenal kerana ketokohannya mengurus selia syarikat kewangan gergasi negara iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai CEO dari tahun 1979-1994. Nama beliau melonjak naik apabila beliau pada zaman Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah berjaya memperolehi syer syarikat mega British iaitu Guthrie sebanyak 51% dalam masa kurang dua jam di London Stock Exchange. Disebabkan kejayaan itu, beliau dilantik menjadi CEO Guthrie dari tahun 1995-2003. Jadi, tidak hairanlah beliau dianugerahkan CEO terbaik Malaysia pada tahun 1997 oleh majalah The Business Times.

Namun, tiada seorang pun menyangka seorang ahli korporat yang berjaya kini menjadi seorang ketua bagi kerajaan negeri yang paling maju di Malaysia. Tidak terlintas bagi fikiran rakyat Selangor yang mana memiliki seorang Menteri Besar (MB) dari kalangan bekas ahli korporat dan bukannya dari kalangan ahli politik. Beliau yang dilahirkan di Jeram, Kuala Selangor pada 14 Disember 1946 telah diangkat menjadi MB Selangor yang ke-14 selepas Dato’ Seri Dr. Mohammad Khir Toyo di Istana Bukit Kayangan pada 13 Mac 2008 yang lalu.

Beliau yang berkelulusan ijazah ekonomi dari Universiti Malaya dan sarjana pentadbiran perniagaan dari Universiti of Queensland, Australia ini telah berjaya memenangi hati rakyat di Ijok pada PRU 12 yang lalu. Hasilnya, beliau dilantik menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok yang sah. Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan negeri antaranya Pengerusi Universiti Selangor (Unisel) yang merupakan universiti milikan penuh kerajaan negeri Selangor.

Berbicara soal keluarga beliau, Tan Sri Menteri Besar mempunyai seorang isteri iaitu Puan Sri Salbiah Tunut. Beliau dikurniakan 4 orang anak iaitu seorang putera dan 3 orang puteri. Walaupun beliau dikatakan takut pada kucing, namun beliau mempunyai hampir 20 ekor kucing di rumahnya. Mana tidaknya, salah seorang anak perempuan beliau merupakan seorang doktor haiwan di Australia.

Bagi saya, catatan ringkas ini sudah cukup menggambarkan serba sedikit tentang MB Selangor kita yang baru ini. Harapan saya agar Tan Sri Menteri Besar bekerja keras bagi merealisasikan Selangor sebuah negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan sejajar dengan slogan kerajaan negeri.

“Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan”.....

No comments:

Post a Comment