Thursday 4 August 2011

Selangor...negeri yang unik

Assalamualaikum.....saya rasa masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua umat Islam di Malaysia. Saya rasa terpanggil untuk berkongsi buah fikiran saya berhubung prestasi dan hala tuju Kerajaan Selangor kepada semua pelawat blog saya ini.

Sebagai mukadimah pada hari ini, saya cuba untuk menceritakan serba sedikit berkaitan dengan Kerajaan Selangor yang dibentuk pada Mac 2008 yang lalu. Setelah PRU-12 yang lalu, majoriti rakyat Selangor telah membuat keputusan dan memberi mandat untuk kerajaan baru bagi mentadbir negeri kesayangan mereka. Menteri Besar Selangor yang ke-14 iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dipekenan oleh baginda Sultan Selangor untuk menerajui negeri yang paling maju di Malaysia ini.

Selangor merupakan salah satu daripada 13 buah negeri di Malaysia yang terletak paling hampir dengan ibu negara Malaysia iaitu W.P. Kuala Lumpur dan pusat pemerintahan Kerajaan Malaysia iaitu W.P. Putrajaya. Negeri yang berkeluasan lebih kurang 8100 km2 ini mempunyai penduduk yang mencecah 5 juta orang yang mana terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Negeri maju yang menjadi nadi ekonomi dan sosial bagi negara Malaysia ini merupakan salah satu pintu masuk utama bagi negara Malaysia.

Tersergamnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di salah satu daerah di Selangor iaitu Sepang menjadikan negeri Selangor sebagai negeri pertama yang akan dilalui oleh para pelancong dalam dan luar negara apabila melawat ke Malaysia. Selain itu, negeri Selangor juga menjadi nadi dalam sektor perkapalan dan perdagangan sama ada domestik mahupun antarabangsa dengan terbinanya pelabuhan-pelabuhan mega di pesisir pantai Klang.

            Cukuplah saya cebiskan serba sedikit tentang negeri Selangor pada hari ini. Saya akan menerangkan dan berkongsi pengetahuan berkaitan kerajaan Selangor dan aktiviti-aktiviti negerinya dari aspek politik, ekonomi, budaya, sosial, sejarah, makanan, geografi, pelancongan dan lain-lain pada post yang berikutnya. Salam

“Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan”.....

No comments:

Post a Comment